Thursday, April 29, 2010

ASB & Unit Trust , Mana Satu Untung Lebih

Saya ingin berkongsi pendapat berkenaan ASB & Unit Trust kerana ramai orang tertanya-tanya kpd saya, mana satu yang lebih menguntungkan. Untung atau tidak, saya tidak dapat memberi jawapan sebenar kerana untung atau rugi dalam pelaburan, semuanya akan bergantung kepada prestasi sebenar dana pelaburan tersebut.

Tidak ada satu dana pelaburan yang boleh menjamin keuntungan, walaupun kadangkala kita mungkin di-approached oleh ejen unit trust tertentu yang menawarkan kadar pulangan yang lebih tinggi dari yang lain. Seseorang itu boleh mempamerkan past performance & past awards atau Investment Projection 20% setahun sekalipun, namun pada hakikatnya, tiada seorang pun boleh menjamin pelaburan yang dibuat di dalam unit trust akan mendatangkan keuntungan kepada pelanggannya.

Ini kerana dana yang declare dividen tinggi sekarang, tidak semestinya akan declare dividen tinggi selama-lamanya dan begitu juga dana yang declare dividen rendah, tidak semestinya rendah selama-lamanya. Sebab itulah, apabila anda melabur dalam unit trust, ada tercatat pada prospektusnya - "Past Performance does not reflect its Future Performance".

Secara amnya, ramai orang melabur tanpa memahami dana pelaburan yang mereka labur. Mereka tidak faham nature of their investment. Sebagai contoh, antara ASB & Unit Trust - bagaimana ia beroperasi?

Kedua-dua dana ini melibatkan risiko pelaburan, kerana sudah menjadi hukum alam, jika anda mahukan pulangan lebih, maka perlulah ambil risiko pelaburan lebih juga.

Cara ASB beroperasi adalah mudah. Anda masuk RM 1 pada hari ini, nilainya tetap RM 1 pada esok hari. ASB adalah pelaburan yang harga unit sahamnya tidak berubah-ubah. Pulangan dividen diberi dalam bentuk peratusan % dan kadangkala ditambah dengan bonus unit.

Dalam ASB, risiko pelaburan tetap ada, cuma ianya kurang kerana ASB adalah satu-satunya dana pelaburan yang dijamin kerajaan Malaysia. Sebagai contoh, sebelum ini ASB boleh declare dividen 10% setahun tetapi sejak 2-3 tahun lepas, kadar dividen mereka menurun kepada 7%. Ini menunjukkan risiko pelaburan tetap ada.

Bagaimana pula dengan unit trust? Ramai orang melabur dalam unit trust tanpa memahami dana yang dipilihnya dan cara unit trust berfungsi. Sebab itulah kita lihat, sesetengah orang bila sebut pasal unit trust, responsenya - "tak naklah nanti rugi".

Ramai orang terlupa, pelaburan unit trust mempunyai pelbagai jenis dana yang mempunyai profail risiko yang berbeza-beza. Unit trust biasanya terdiri dari dana yang aggresif (sebahagian besar dana dilabur dalam pasaran ekuiti/shares), dana seimbang (sebahagian dilabur dalam ekuiti/shares yang dipelbagaikan) dan dana yang konservatif (sebahagian besar dana dilabur ke pasaran bon dan pelaburan berisiko rendah). Tidak kira dana konvensional mahupun Islamik, biasanya profail risikonya adalah seperti di atas.

Ramai di antara kita melabur ke dalam unit trust tanpa mengikut profail risiko yang bersesuaian dengan dirinya. Anda perlu sedar, setiap orang ada tahap toleransi yang berbeza terhadap risiko pelaburan yang sanggup dia hadapi.

Jika anda seorang yang tidak sanggup menerima risiko kerugian dan hanya ingin melabur duit anda untuk sementara walaupun pada kada pulangan yang rendah, maka pilihlah dana yang konservatif.

Dan sebaliknya, jika anda sanggup menerima risiko kerugian (kehilangan sebahagian modal pelaburan) untuk mendapatkan pulangan tinggi dan mahu melabur dalam jangka panjang, maka pilihlah dana aggresif atau dana seimbang.

Dan jika anda mahu mempelbagaikan pelaburan anda, anda boleh meletakkan sebahagian di dalam dana konservatif dan sebahagian lagi di dana aggresif atau seimbang. Contoh: 30% dalam dana konservatif, 40% dalam dana seimbang dan baki 30% dalam dana aggresif.

Cara unit trust beroperasi juga berlainan dari ASB. Anda labur RM 1 hari ini, esok nilainya boleh menjadi 90 sen atau RM 1.10. Nilai seunitnya akan berubah ubah mengikut prestasi semasa dana.

Unit trust juga biasanya mempunyai 2 harga: buying and selling untuk cover initial service charge syarikat mutual tersebut.
Contoh: Seling price 55.4 sen dan buying price 52.4 sen seunit. Perbezaannya adalah service caj syarikat tersebut.

Rujuk selling price untuk harga saham yg anda beli dan rujuk buying price untuk harga saham yg anda jual semula kpd syarikat mutual.

Melabur dalam unit trust ini ada 2 cara, iaitu melabur secara sekali-gus (lump sum) atau melabur secara berkala (regular savings). Melabur secara regular savings, biasanya untuk tujuan jangka panjang dan anda tidak perlu risau akan harga saham turun naik kerana risiko pelaburan anda sudah dipelbagaikan setiap bulan anda melabur (dollar-cost averaging theory).

Cuma melabur secara lump-sum, samada secara cash mahupun EPF, anda perlu beri perhatian kepada timing : iaitu bila nak beli dan bila nak jual?

Timing ini penting kerana ia boleh menentukan untung atau rugi dalam pelaburan anda. In theory, seseorang itu patut beli semasa saham harga murah dan menjual apabila harga unit sahamnya sudah naik melebihi modal asal + service chargenya.

Contoh: Beli pada selling price 55.4 sen dan buying price pada masa itu adalah 52.4 sen. Apabila ekonomi bertambah baik dan harga unit saham mula naik, contoh buying price 59.5 sen, anda boleh jual semula unit trust anda untuk mendapatkan keuntungan.

Bagaimana pula dengan dividen yang diberi dalam unit trust?

Pulangan biasanya diberi dalam bentuk bonus unit atau cash dividend atau kedua-duanya sekali. Biasanya agihan bonus unit adalah untuk dana yang banyak dilaburkan ke dalam ekuiti/shares. Jadi untuk dana ini, anda perlu kumpul sebanyak mana unit saham pegangan anda. Bagi dana yang banyak dilaburkan ke dalam bon atau sekuriti hutang, anda biasanya akan menerima cash dividen (dalam bentuk sen) untuk pelaburan anda.

Apa terjadi apabila anda menerima dividen berbentuk bonus unit?

Sebenarnya apabila sesebuah dana unit trust declare dividen berbentuk bonus unit, harga unit saham tersebut akan turun sedikit kerana pelarasan dividen tadi. Ini dapat anda lihat dengan jelas di dalam dana aggresif yang memberi bonus unit, contoh 15 unit tambahan untuk setiap 100 unit yang anda pegang. Return pelaburan bukannya 15%, sebaliknya bonus tambahan sahaja yang 15% bagi setiap 100 unit yang dipegang. Harga unit saham akan diselaraskan dengan bonus unit tambahan ini dan akan menyebabkan harga unit saham jatuh sedikit.

Contoh yang kerap berlaku pada hari ni, seseorang ejen unit trust mungkin 'meracun minda' anda dengan menyatakan, dana unit trustnya akan declare dividen 15% tidak lama lagi dan jika anda melabur sekarang, anda akan menerima dividen 15% itu tanpa perlu melabur sehingga 1 tahun. Maka anda pun melabur RM 10,000.

Ya, apabila declare bonus unit 15 unit setiap 100 unit pegangan, memang anda akan terima tambahan 15 unit itu, tetapi nilai pelaburan anda masih lagi kekal pada nilai RM 10,000 kerana harga unit saham sudah pun diselaraskan dengan pemberian bonus unit tambahan itu. Cuma pegangan unit saham anda sahaja bertambah. Nak untung, kena lah anda tunggu sehingga buying price anda naik.

Sebab itulah pada sesetengah orang, timing untuk dia membeli unit trust ini apabila dana tersebut sudah declare dividen atau semasa ekonomi merundum kerana harga unit saham adalah lebih rendah berbanding biasa.

Tips untuk Membeli Unit Trust? - Untuk pelaburan secara lump sum sahaja

1 - Pilih timing yang bersesuaian - beli semasa harga murah dan jual semasa harga mahal

2 - Kenali diri anda dulu - Nak melabur selama berapa tahun? Short/long term? dan sejauh mana tahap toleransi risiko anda? Sejauh mana anda sanggup ambil risiko kerugian semata-mata nak dapatkan pulangan tinggi?

3 - Kenali profail dana pelaburan anda samada ia bersesuai dengan profail risiko anda

4 - Berurusan dengan syarikat yang cekap dan mempunyai rekod pelaburan yang baik. Contoh, Unit saham syarikat mutual swasta perform lebih baik dari syarikat saham amanah negeri.

5 - Semak service caj yang dikenakan oleh syarikat mutual tersebut, samada ianya terlalu tinggi untuk anda. Caj biasanya antara 5%- 7% bagi dana aggresif/equity-based.

Untuk saya menyatakan yang mana satu lebih untung, ASB atau Unit Trust, saya tidak boleh menyatakan sedemikian kerana keputusan sebenar hanya akan diperolehi dari prestasi sebenar dana pelaburan yang anda pilih. Tiada seorang pun boleh menjamin pelaburan yang untung setiap masa tidak kira betapa manisnya mulut ejen tersebut.

Yang pasti, jika anda ingin melabur duit anda, sekurang-kurangnya tetapkan matlamat anda, kenali tahap toleransi anda terhadap risiko pelaburan dan fahami dana pelaburan anda terlebih dulu.

PERANCANGAN PERBELANJAAN

Marilah kita buat satu perancangan kewangan yang mudah tetapi efektif, atau dalam dunia kewangan ia lebih dikenali sebagai Bajet. Topik ini mungkin sudah banyak ditulis sebelum ini tetapi ia amat penting ditekankan sekali lagi di sini kerana tidak ramai rakyat Malaysia yang memilikinya.
Apa itu Bajet?
Bajet hanyalah satu pelan perbelanjaan anda (ha, seronok bukan?). Ya, kebanyakan kita suka berbelanja tetapi tidak ramai yang dapat mengawal perbelanjaan mereka. Bajet adalah satu cara untuk mengimbangi duit yang anda miliki dengan duit yang anda belanjakan. Anda membuat satu perancangan dengan membuat pilihan. Anda putuskan pada apa yang anda akan belanjakan, berapa banyak yang akan dibelanjakan dan berapa banyak yang anda akan simpan.
Pelan anda berdasarkan pada pendapatan dan perbelanjaan. Pendapatan ialah duit yang masuk ke dalam poket anda. Perbelanjaan ialah perkara yang mengambil duit dari poket anda. Oleh kerana pendapatan setiap orang berbeza, pelan anda perlu padan dengan situasi anda (atau poket anda!). Bajet anda diasaskan kepada Matlamat, Keperluan dan Kehendak.
Mari kita lihat beberapa contoh:

MATLAMAT
KEPERLUAN
KEHENDAK
Memiliki sebuah Kereta
Memiliki sebuah Rumah
Berkahwin
Perniagaan sendiri
Memberikan pendidikan yang baik untuk anak
Pencen dengan selesa
Bersedekah
Makan Minum
Tempat Tinggal
Pakaian
Masa berkualiti dengan keluarga
Kereta/Motosikal
Telefon mudah alih
Komputer
Makan malam yang mewah
Banglo seperti-rumah peranginan
Pakaian mahal berjenama
Percutian mahal
Kereta mewah
Telefon canggih yang terkini
Komputer yang tercanggih
Dan lain-lain lagi...

Seperti yang anda boleh lihat di atas, kadang kala sukar untuk membezakan antara Keperluan dan Kehendak. Semakin lama, keperluan asas kita mungkin berkembang lebih daripada makan dan minum, tempat tinggal dan pakaian. Seorang juru jual mungkin akan melakukan kerjanya dengan lebih efektif dengan sebuah kereta (melainkan sistem pengangkutan awam kita amat efisien!). Pada zaman IT masa kini, telefon mudah alih adalah praktikal dan penting (malah murid sekolah juga berpendapat begitu!), begitu juga dengan komputer.
Kita cuma perlu beberapa perkara tetapi Kehendak kita tiada penghujungnya! Sukarkah untuk membezakannya sekarang???
Mengapa Saya Perlu Ada Bajet?
Sesiapa yang ada pendapatan dan perbelanjaan, perlukan bajet. Perancangan boleh membantu anda menggunakan duit untuk mencapai matlamat anda. Anda boleh mempelajari dan melatih kemahiran yang diperlukan untuk membuat bajet. Pelan kewangan ini akan membantu anda mengawal kewangan anda. Anda dapat mengelak daripada masalah kewangan dan capai matlamat anda dengan lebih mudah.
Bagaimana Saya Boleh Mula Membuat Bajet?
Untuk membuat satu perancangan kewangan, senaraikan Pendapatan dan Perbelanjaan Tetap anda, iaitu perbelanjaan yang tidak berubah dari bulan ke bulan, seperti sewa rumah, ansuran rumah dan kereta atau premium insuran. Perbelanjaan yang lain adalah Pemboleh Ubah, iaitu berubah-ubah dari bulan ke bulan, seperti bil air dan elektrik, pakaian atau hiburan.
Kemudian, anda perlu tahu bagaimana anda membelanjakan duit anda sekarang. Anda boleh buat begini dengan menulis apa yang anda beli dan berapa yang anda belanjakan. Ini akan mengambil masa dan usaha tetapi ia bermanafaat kerana, ia akan membantu anda melihat ke mana anda membelanjakan duit anda. Jangan terlalu terkejut dengan apa yang anda pelajari tentang diri anda dan duit anda!
Untuk 30 hari seterusnya, setiap kali anda berbelanja, catatkannya dalam buku perancangan (gunakan Excel spreadsheet, jika anda pandai teknologi), berapa yang anda belanja dan ke mana anda membelanjanya. Apabila anda membayar bil, mengisi minyak kenderaan, pergi menonton wayang, bersedekah/membayar zakat, malah membeli nasi lemak kegemaran anda daripada gerai makcik depan rumah anda, semuanya perlu dicatat.
Di hujung bulan, gunakan kalkulator untuk jumlahkan setiap kolum di bawah carta agar dapat lihat berapa banyak duit yang anda telah belanjakan dalam setiap kolum. Kemudian, jumlahkan semua kolum untuk melihat berapa banyak duit yang anda belanjakan dalam sebulan secara purata. Babitkan anak-anak anda juga kerana latihan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran matematik mereka tetapi, ia juga mendedahkan kepada mereka tentang konsep berbajet (namun satu amaran: mereka akan tahu bila masa yang terbaik untuk meminta permainan baru mereka!).
Bagaimana Saya Hendak Memutuskan Di Mana Untuk Berbelanja?
Dengan melihat semula spreadsheet/carta anda yang sudah siap, anda dapat melihat ke mana duit anda dibelanjakan. Membincangkan carta anda dengan kauselor atau dengan seorang yang anda kenal, yang mengurus duit dengan baik, adalah tindakan yang bijak.
Sebahagian besar duit anda digunakan untuk keperluan asas seperti makanan, rumah dan pakaian. Semua ini adalah keperluan dan anda akan sentiasa membelanjakan duit padanya untuk hidup tetapi anda boleh memilih berapa banyak yang perlu dibelanjakan. Perbelanjaan lain mungkin termasuk, membeli pakaian baru, pinggan mangkuk baru atau permainan baru untuk anak-anak anda. Ini pula adalah kehendak. Walaupun anda mungkin gemar membelanjakan duit cara ini, sebenarnya anda boleh hidup tanpanya.
Soalan berikut mungkin dapat membantu anda membuat keputusan tentang perkara yang perlu dilakukan:
  • Perbelanjaan manakah yang tidak boleh dipotong?
  • Berapakah perbelanjaan minimum yang saya perlukan untuk hidup?
  • Perbelanjaan yang mana satu ialah Keperluan dan yang mana satu ialah Kehendak?
  • Apakah yang akan berlaku jika saya menangguhkan beberapa perbelanjaan?
  • Bolehkah saya membeli barang pengganti yang lebih murah?
Sekarang, setelah anda mengkaji carta anda dan membincangkan soalan di atas, anda sudah bersedia untuk membuat bajet peribadi anda. Catatkan berapa banyak duit yang anda perlukan untuk setiap jenis perbelanjaan dalam sebulan. Sebagai contoh: RM300 untuk makan minum, RM100 untuk pengangkutan, RM50 untuk simpanan dan sebagainya.
Cuba tetapkan matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang. Sebagai contoh matlamat jangka pendek: hadkan duit untuk makan minum kepada RM10 sehari, naik bas/LRT daripada memandu ke tempat kerja dan baca surat akhbar (jiran anda) untuk mencari hiburan keluarga secara percuma. Contoh matlamat jangka panjang: simpan RM1,000 untuk membeli peti sejuk baru (model yang jimat tenaga dan mesra alam adalah ideal!), melangsaikan hutang atau mungkin berpindah ke kawasan perumahan baru (atau setengah orang mungkin berkata, balik kampung!)
Bagaimana Saya Dapat Mematuhi Bajet?
Ini adalah bahagian yang mencabar! Ia akan memerlukan latihan dan disiplin diri untuk mematuhi bajet anda. Hanya anda seorang saja yang boleh mematuhi perancangan anda. Di sini ada beberapa cadangan yang boleh membantu anda terus mematahi bajet anda:
  • Bayar bil yang diperlukan terlebih dahulu. Jika boleh, cuba aturkan supaya bil-bil anda tidak perlu dibayar serentak pada hari yang sama.
  • Simpan duit setiap bulan, tidak kira berapa jumlahnya. Anda cuma mahu jadikan ia tabiat.
  • Buat satu senarai sebelum anda pergi membeli-belah. Semasa anda membeli-belah, ingat perbezaan antara keperluan dan kehendak.
  • Buat perancangan terlebih dahulu dan beli barangan ketika ada jualan murah. Membeli-belah di kedai diskaun dan pasar lambak. Kongsi barangan yang boleh digunakan semula dengan keluarga dan rakan.
  • Jauhi daripada kedai atau tempat yang membazirkan duit anda!
  • Pelajari cara-cara menyimpan duit daripada keluarga dan rakan, dan patuhi satu pelan.
  • Rekodkan apa yang anda belanja dan berapa perbelanjaan anda. Jadikannya mudah dan senang untuk dibuat. (Tip: mungkin “buku kecil 555” amat berguna!)
  • Bandingkan rekod ini dengan perancangan kewangan yang anda telah tulis supaya anda boleh lihat jika anda telah mematuhinya.
Bilakah Perlu Saya Ubah Bajet Saya?
Jangan panik atau kecewa jika anda tidak dapat mengikut bajet anda sepenuhnya. Ia mengambil masa dan memerlukan latihan untuk mengubah sebarang tingkah-laku, lebih-lebih lagi tabiat berbelanja! Anda mungkin perlu mengubah bajet anda mengikut perubahan keperluan anda dan keluarga anda. Jika pendapatan anda bertambah atau berkurangan, anda perlu mengubahnya. Yang penting anda mempunyai satu pelan dan anda dapat mengurus kewangan anda.
Akhir sekali, sentiasa ingat untuk Mengamalkan Pengurusan Kewangan Berhemah Sebagai Budaya Hidup”

Thursday, April 22, 2010

Gambar Cuti-cuti Malaysia







































ni semua gambar kenangan masa aku p jalan2 di JB pada 2/4/10- 5/4/10.